KUCHING: Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa memberikan keistimewaan untuk mendaftarkan kanak-kanak sebagai warganegara yang berada di rumah kebajikan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, ia perlu diberikan bagi memastikan hak mereka terpelihara.
“Ia susulan masih ramai lagi kanak-kanak dan bayi di rumah kebajikan mempunyai status tiada taraf kewarganegaraan manakala ada yang mempunyai sijil lahir namun masih tidak ditentukan kewarganegaraannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Hari Raya Plaza Merdeka di sini semalam.
Mengulas lanjut kata Fatimah, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifudin telah meluluskan permohonan pemberian status kewarganegaraan kepada tujuh kanak-kanak yang tinggal di rumah kebajikan di Sarawak.
“Alhamdulillah, Menteri KDN mengambil berat terhadap rayuan kami dan telah meluluskan semua permohonan kewarganegaraan kepada kanak-kanak yang ada di rumah kebajikan.
“Tiga lagi masih menunggu sijil tersebut manakala empat kanak-kanak telah menerima sijil kewarganegaraan.
“Status kewarganegaraan ini akan memudahkan untuk mana-mana ibu bapa yang ingin mengambil kanak-kanak ini untuk dijadikan anak angkat tanpa ada masalah,” katanya.
