KUCHING: Tiada draf perjanjian baharu berkaitan tuntutan peruntukan wakil rakyat pembangkang diserah oleh Kerajaan Mahdani kepada parti itu seperti didakwa pemimpin Perikatan Nasional (PN).
Demikian tegas Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof sambil menambah, beliau tidak menyerahkan sebarang draf dokumen seperti didakwa semasa pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Draf ini turut disebut Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.
“Tapi adakah YB Rosol sudah lihat ‘draf’ itu? Jika belum, mintalah ‘draf’ itu dari Ketua Pembangkang. Cuba lihat ‘draf’ itu wujud atau tidak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ketua Whip Kerajaan Perpaduan berkenaan, dalam pertemuan di Parlimen 19 Mac lalu, beliau hanya mendengar permohonan dan tawaran PN.
Katanya, tiada sebarang dokumen diberi atau diterima.
“Justeru, tidak wujud satu dokumen ‘draf perjanjian’ di antara Kerajaan Madani dan Pembangkang seperti dakwa.
“Saya tegaskan sekali lagi dalam pertemuan saya bersama wakil-wakil Pembangkang minggu lalu, tiada sebarang dokumen diberi oleh pihak Kerajaan Madani mahupun pihak pembangkang.
“Ia sekadar sesi mendengar permintaan dan tawaran mereka. Malah tiada perbincangan mengenai ‘perjanjian’ dalam perjumpaan itu”, katanya.
