Kasih Insani 8 @ Dapur Siswa MADANI sedia makanan kepada pelajar UNIMAS

SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerusi Bahagian Endowmen dan Wakaf menganjurkan Program Kasih Insani 8 @ Dapur Siswa MADANI di Kolej Allamanda di kampus UNIMAS, di sini, baru-baru ini.

Antara aktiviti program ialah gotong-royong memasak serta simbolik penyerahan sumbangan bahan mentah kepada pengurusan Dapur Siswa MADANI UNIMAS bagi penyediaan makanan tengah hari dan bubur lambuk kepada pelajar.

“Bahagian Endowmen dan Wakaf UNIMAS menyalurkan sumbangan berjumlah RM12,086 bagi membiayai penyediaan bahan mentah Dapur Siswa MADANI,” menurut kenyataan UNIMAS.

Program ini diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertujuan memastikan pelajar dari golongan B40 mendapat akses kepada makanan berkhasiat di samping membantu meringankan kos sara hidup di institusi pendidikan tinggi (IPT).

Melalui pelaksanaan program ini UNIMAS berharap lebih banyak inisiatif kebajikan berasaskan dana endowmen dan wakaf dapat dilaksanakan secara berterusan dalam usaha membina ekosistem kampus yang lebih inklusif, prihatin dan mampan, selaras aspirasi Malaysia MADANI.