Jambatan Batang Lupar 2 komitmen Kerajaan GPS bela kebajikan rakyat

SIMANGGANG: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kejayaan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur berimpak tinggi di negeri ini membuktikan komitmen Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merealisasikan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, pembangkang sebelum ini memperlekehkan usaha kerajaan negeri, namun kemajuan projek-projek strategik yang kini dapat disaksikan menjadi bukti keupayaan GPS menunaikan perancangan pembangunan.

“Dulu, pembangkang kata Premier Sarawak cakap air liur sahaja. Sekarang, mereka yang terliur. Seperti kata orang Iban, nitik air liurnya. Lihat apa yang terjadi dan kami (GPS) melihatnya dengan bangga.

“Ini adalah kebanggaan rakyat Sarawak. Jambatan Batang Lupar 2 merupakan antara contoh terbaik kejayaan pelaksanaan projek strategik yang bakal membawa impak besar kepada pembangunan wilayah serta kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Upacara Penyambungan Akhir Struktur Jambatan Batang Lupar 2 di sini hari ini.

Uggah berkata, pencapaian itu adalah hasil visi dan kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menjadikan pembangunan infrastruktur sebagai asas kepada kemajuan ekonomi negeri.

Menurut beliau, usaha mendapatkan sumber kewangan alternatif membolehkan kerajaan negeri meneruskan pelaksanaan projek-projek mega secara konsisten, sekali gus mempercepat pembangunan di seluruh Sarawak.

Katanya, Kerajaan GPS turut memberi tumpuan kepada pembangunan kawasan luar bandar menerusi penyediaan jaringan jalan raya dan jambatan berkualiti bagi meningkatkan kesalinghubungan.

Selain itu katanya, merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar serta membuka lebih banyak peluang sosioekonomi kepada penduduk.

Beliau berkata, kejayaan projek-projek berkenaan membuktikan kerajaan negeri bukan sekadar merancang atau membuat janji, sebaliknya melaksanakan setiap agenda pembangunan sehingga berjaya direalisasikan.

Sehubungan itu, Uggah menggesa rakyat Sarawak supaya menilai prestasi kerajaan berdasarkan pencapaian pembangunan yang telah dibuktikan, bukannya dakwaan atau tohmahan pihak tertentu.

Katanya, pendekatan pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan GPS akan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan lebih seimbang dan mampan di seluruh Sarawak.