KUCHING: Kepesatan perkembangan teknologi akan memberi makna lebih besar kepada rakyat Sarawak jika ia boleh mewujudkan peluang baharu dan mengimbangi pembangunan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, hala tuju dasar sifar bersih perlepasan karbon bukan setakat menunjukkan kemajuan yang dicapai tetapi menjurus kepada mengubah cara dan corak kehidupan.
“Membentuk corak kehidupan itu adalah melalui tenaga bersih, industri lebih cekap, inovasi, teknologi dan mengurus sumber asli secara bertanggungjawab,” katanya ketika melancarkan Loji Kedua WD Sarawak – New Horizons for WD Sarawak: Advancing AI Innovations & Powering Growth di sini, hari ini.
Atas sebab itu, katanya, Sarawak terus melabur dalam tenaga dibaharui, hidrogen, pengurusan karbon dan pembangunan industri secara mampan.
Abang Johari berkata, kemajuan yang dicapai oleh syarikat WD itu bukan setakat fasiliti pengilangan tetapi lebih daripada itu.
Syarikat WD melambangkan tiga dekad pencapaian pertumbuhan, daya ketahanan dan persefahaman bersama, katanya dan menambah, ia juga mencerminkan rakan kongsi yang panjang antara WD dan Sarawak yang dibina melalui perkongsian komitmen dan kepercayaan bersama potensi negeri ini.
Yang lebih penting, tegas beliau, kejayaan syarikat itu mencerminkan pencapaian mereka di belakang kejayaannya yang membolehkan beberapa generasi anak Sarawak membina kerjaya mereka, menimba kepakaran dan menyumbang kepada pertumbuhan syarikat terbabit.
Menurut Abang Johari, dalam usaha memperkasa transformasi, keutamaan Sarawak tetap jelas iaitu mewujudkan peluang berkualiti untuk belia, menyediakan tenaga kerja untuk industri baharu dan memastikan Sarawak kekal kompetitif dalam ekonomi global yang semakin dinamik.
Kerajaan Sarawak, katanya, akan terus melabur dalam bidang pendidikan, infrastruktur digital, inovasi, penyelidikan dan pembangunan bakat untuk mentransformasi negeri ini.
