Kota Samarahan terus diperkasa sebagai Metropolis Kesihatan

KOTA SAMARAHAN: Kota Samarahan terus diperkasakan sebagai Metropolis Kesihatan menerusi pembangunan bersepadu yang menggabungkan pendidikan, penyelidikan, perkhidmatan kesihatan dan industri berteknologi tinggi.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, Samarahan kini bukan lagi sekadar hab pendidikan, sebaliknya sedang berkembang sebagai pusat pembangunan berasaskan kesihatan dengan kewujudan pelbagai institusi utama.

“Antara aset utama ialah Pusat Kanser Sarawak, Hospital Pengajar UNIMAS, institusi penyelidikan, universiti serta kemudahan kesihatan bertaraf antarabangsa,

“Gabungan ekosistem itu mampu menarik pelaburan bernilai tinggi,”katanya ketika berucap pada majlis Festival Budaya dan Makanan Samarahan 2026 di Tapak Pasar Tamu Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), disini, semalam.

Tegas Dr. Sim, kelebihan itu dapat melahirkan tenaga kerja mahir serta memperkukuh kedudukan Samarahan sebagai pusat penyelidikan dan inovasi di rantau ini.

Di samping itu, tambahnya, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum, selain pelaburan syarikat teknologi, akan terus mengukuhkan ekosistem teknologi tinggi di Samarahan.

Mengulas mengenai penganjuran festival, beliau menyifatkan festival berkenaan sebagai platform penting yang mampu memupuk perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.

Selain itu, ia dapat mempromosikan budaya serta memperkenalkan keunikan negeri ini kepada pelajar antarabangsa.

Festival Budaya dan Makanan Samarahan 2026 berlangsung dari 26 Jun hingga 5 Julai depan menghimpunkan 52 gerai jualan pelbagai makanan dan minuman termasuk pameran dari pelbagai agensi.