Projek padi Nangar bakal tawarkan banyak peluang pekerjaan

DARO: Cadangan pembangunan projek tanaman padi berskala besar di Nangar sini, dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan pertanian moden di Daro sekali gus memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, projek seluas kira-kira 500 hektar di Blok G, Nangar itu dijangka meningkatkan pengeluaran padi, merancakkan ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan pendapatan kepada penduduk luar bandar.

“Saya berharap pemilik tanah dan pihak berkepentingan memberikan kerjasama serta sokongan penuh bagi memastikan projek itu dapat direalisasikan dengan lancar demi manfaat bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Dialog dan Sesi Libat Urus Projek Pembangunan Tanaman Padi Nangar Blok G di Dewan Telo Samah, Kampung Nangar Besar, di sini baru-baru ini.

Katanya, kejayaan projek berskala besar itu memerlukan persefahaman dan komitmen semua pihak bagi mencapai matlamat meningkatkan produktiviti sektor pertanian serta kesejahteraan masyarakat luar bandar.

Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan libat urus bersama masyarakat penting bagi memastikan setiap cadangan pembangunan dapat dilaksanakan secara tersusun, telus dan mengambil kira kepentingan semua pihak.

Pada majlis itu, Jabatan Pertanian Sarawak menerusi Bahagian Padi dan Bijian menyampaikan taklimat terperinci mengenai cadangan pelaksanaan projek, termasuk aspek pembangunan kawasan tanaman.