KUCHING: Sarawak yakin mampu mencapai sasaran di Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 walaupun akan berdepan kekangan logistik pada temasya itu di Selangor mulai 15 hingga 24 Ogos depan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Chef De Mission Kontijen Sarawak SUKMA 2026, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, ini berdasarkan kira-kira 30 peratus pasukan Sarawak terdiri daripada atlet berpengalaman, manakala selebihnya atlet baharu.
Manakala katanya, antara kekangan itu termasuk lokasi pertandingan yang lebih jauh antara satu sama lain menimbulkan beberapa cabaran logistik.
“Selain itu, faktor kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur juga perlu diambil kira, terutamanya bagi pertandingan yang berlangsung pada awal pagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Bengkel SHOGUN Sarawak di Perkampungan Sukan Sarawak (SSV) di sini, hari ini.
Kira-kira 250 peserta, terdiri daripada jurulatih, pengurus pasukan dan pegawai pembangunan sukan menghadiri program selama tiga hari.
Gerald berkata berikutan itu, persatuan dan pengurus pasukan perlu membuat perancangan yang teliti bagi mengatasi cabaran logistik terbabit.
“Bagaimanapun, kita tetap optimis dan yakin, terutamanya dengan sokongan daripada komuniti anak Sarawak di Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka,” katanya.
Di samping itu, katanya cabaran utama juga adalah ketiadaan perkampungan sukan seperti pernah disediakan di Sarawak sebelum ini.
“Semua kontinjen perlu menguruskan sendiri penginapan, pengangkutan dan keperluan logistik lain seperti homestay atau hotel,” katanya.
Manakala dari segi cabaran penganjuran, beliau berkata Selangor sebagai tuan rumah mempunyai pendekatan tersendiri dalam mengatur pertandingan.
“Kita pernah berdepan dengan situasi yang hampir sama sebelum ini, jadi kita akan menilai dan menyesuaikan strategi berdasarkan pengalaman lalu,” tambahnya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak merangkap Pengarah MSN Sarawak, Mu’azamir Jili dan Setiausaha Tetap MySed Dzulkornain Masron.
