KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak bersama Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) memperkukuhkan kerjasama strategik dengan Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) bagi memperkasakan profesionalisme perancangan bandar dan desa di Sarawak.
Menurut kenyataan media dari Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak, kunjungan tersebut bertujuan merangka kerjasama yang lebih proaktif antara agensi Kerajaan Sarawak dengan badan profesional induk perancang bandar negara.
Ini khususnya dalam meningkatkan kompetensi serta pengiktirafan profesional pegawai perancang bandar dan desa di negeri ini.
Delegasi JTS Sarawak diketuai Penolong Pengarah Perancangan, Mohammad Zunica Mohamad Sapiee manakala MUDeNR diwakili Timbalan Setiausaha Tetap, Wan Sufian Wan Mustapha serta Ketua Bahagian Perancangan Bandar dan Desa, Sri Ratna Dewi Junaidi Sepawi. Turut serta ialah delegasi Cawangan Sarawak-Sabah, Pertubuhan Perancang Malaysia (MIPSSC).
Antara fokus utama perbincangan ialah pelan strategik bagi meningkatkan keahlian korporat MIP dalam kalangan pegawai perancang bandar dan desa di Sarawak sebagai usaha memperkukuhkan kompetensi teknikal selaras dengan standard profesional di peringkat kebangsaan, kata kenyataan media itu.
Selain itu, delegasi Sarawak turut mengutarakan cadangan memperluaskan akses kepada program latihan, kursus pemantapan profesional serta pengiktirafan kepakaran untuk pegawai perancang di bawah bimbingan MIP.
Menurut kenyataan itu lagi, delegasi berkenaan disambut Presiden MIP, Mazrina Dato’ Abdul Khalid, Timbalan Presiden, Abdul Hamid Akub dan Setiausaha Kehormat, Annie Syazrin Ismail bersama barisan pengurusan tertinggi pertubuhan tersebut.
Kerjasama strategik itu dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan perancangan bandar dan desa di Sarawak sekali gus menyokong agenda pembangunan negeri yang lebih mampan, terancang dan berdaya saing.
