Kesihatan mental tonggak utama pembangunan Sarawak di bawah PCDS 2030

KUCHING: Kesihatan mental kini diiktiraf sebagai antara tonggak utama pembangunan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), dengan usaha memperluaskan akses perkhidmatan kesihatan mental yang berkualiti kepada seluruh rakyat tanpa mengira lokasi dan latar belakang.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan negeri tidak boleh hanya diukur melalui pencapaian ekonomi semata-mata, sebaliknya katanya, perlu mengambil kira kesejahteraan mental rakyat sebagai asas kepada pembentukan masyarakat yang progresif, inklusif dan berdaya tahan.

“Kita percaya pembangunan sebenar bukan hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi semata-mata.

“Sebaliknya, turut melalui kesejahteraan mental rakyat, dengan memastikan setiap individu mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti termasuk kesihatan mental tanpa mengira lokasi mahupun latar belakang,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah pada majlis perasmian Persidangan Kesihatan Mental Sarawak Ke-7 yang berlangsung di sini, hari ini.

Menurut beliau, komitmen kerajaan diterjemahkan melalui usaha memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan mental di seluruh Sarawak termasuk penyediaan perkhidmatan psikiatri di 10 hospital negeri.

Antara hospital terlibat ialah Hospital Sentosa, Hospital Umum Sarawak, Hospital Miri, Hospital Sibu, Hospital Sri Aman, Hospital Bintulu, Hospital Sarikei, Hospital Serian, Hospital Kapit dan Hospital Limbang.

Selain itu, Sarawak turut memperluaskan kepakaran dalam bidang psikiatri melalui pelbagai subkepakaran termasuk psikiatri kanak-kanak dan remaja, psikiatri geriatrik, neuropsikiatri, psikiatri ketagihan serta psikiatri perundingan dan perhubungan di Hospital Umum Sarawak.

Dalam pada itu, perkhidmatan kesihatan mental berasaskan komuniti melalui Pusat Kesihatan Mental Komuniti (MENTARI) terus diperkukuh bagi memastikan kesinambungan rawatan, pemulihan dan integrasi sosial pesakit.

Tambahnya, pendekatan ini turut menekankan kepentingan sokongan keluarga, komuniti dan majikan dalam membantu proses pemulihan selain rawatan klinikal semata-mata.

“Kita perlu terus mengurangkan stigma, meningkatkan literasi kesihatan mental serta menggalakkan intervensi awal supaya masyarakat lebih berani mendapatkan bantuan tanpa rasa takut atau malu, selain memastikan sokongan sentiasa tersedia dan mudah diakses,” ujarnya.

Abang Johari turut menggesa semua pihak termasuk agensi kerajaan, institusi kesihatan, pendidikan, majikan serta komuniti digesa untuk memperkukuhkan kerjasama dalam membina sistem kesihatan mental yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Persidangan Kesihatan Mental Sarawak Ke-7 yang bertemakan “Bridge to Healing: Connecting Minds, Hearts & Care Across Generations” menghimpunkan pakar, penyelidik dan pengamal kesihatan mental bagi berkongsi ilmu serta amalan terbaik dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan mental di Sarawak.