KUCHING: Di sebalik pelbagai kejayaan dicapai dalam pembangunan belia, realitinya masih ada cabaran yang membayangi masa depan generasi muda.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, isu kehamilan remaja luar nikah antara yang memerlukan perhatian semua pihak.
Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan seramai 21,114 remaja berusia antara 10 hingga 19 tahun hamil dan tidak berkahwin direkodkan di fasiliti kesihatan kerajaan bagi tempoh 2019 hingga 2024, katanya.
“Di Sarawak, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak merekodkan 1,271 kes pada 2024.
“Berbanding 1,242 kes pada 2025, walaupun menunjukkan sedikit penurunan, angka ini masih memerlukan perhatian serius,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) Negara peringkat negeri Sarawak bersama pelajar dan Ibu Bapa di Sekolah Seni Malaysia Sarawak (SSeMS) di sini, hari ini.
Tegas beliau, isu kehamilan tanpa perkahwinan bukan sahaja memberi kesan kepada masa depan remaja, malah turut menjejaskan institusi keluarga dan kesejahteraan masyarakat.
Katanya, ia sekali gus mencerminkan bahawa isu tersebut masih menjadi cabaran sosial yang signifikan.
Tambahnya, setiap angka yang direkodkan bukan sekadar statistik, tetapi mewakili harapan, impian dan masa depan seorang remaja yang berisiko terjejas akibat keputusan yang diambil pada usia muda.
Menurutnya, kehamilan luar nikah bukan sahaja memberi kesan kepada pendidikan.
Ia turut membabitkan kesihatan dan masa depan remaja, malah turut meninggalkan implikasi besar terhadap institusi keluarga serta kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan usaha pencegahan perlu diperkasakan melalui pendidikan kesihatan reproduktif.
Pengukuhan nilai kekeluargaan, bimbingan berterusan serta intervensi awal yang melibatkan ibu bapa, sekolah, komuniti dan agensi berkaitan juga perlu ditingkatkan, ujarnya.
“Semua ibu bapa diharap luangkan masa dengan anak-anak, memahami dunia digital mereka,” katanya.
Jelasnya, hubungan yang erat dalam keluarga akan membantu anak anak membuat pilihan yang betul dan mengelakkan mereka daripada pengaruh negatif. – NORAIDA ABDUL KASSIM /JIWA BAKTI
