KUCHING: Isu kesihatan mental dan gelandangan dikenal pasti sebagai saling berkait rapat serta memerlukan pendekatan bersepadu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah.
Katanya, ia melibatkan pelbagai agensi termasuk kesihatan, kebajikan dan komuniti dalam menangani cabaran sosial di Sarawak.
Beliau berkata, terdapat gelandangan yang turut mengalami masalah kesihatan mental dan memerlukan rawatan serta intervensi sewajarnya sebelum proses pemulihan dan reintegrasi sosial dapat dilaksanakan.
“Ini adalah cabaran kepada kita di kementerian kerana kesihatan mental dan gelandangan memang saling berkait rapat. Ada dalam kalangan mereka yang mengalami masalah mental tidak dirawat, akhirnya menjadi gelandangan,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Persidangan Kesihatan Mental Sarawak Ketujuh di sini, hari ini.
Beliau mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, kes-kes berkenaan biasanya dirujuk ke Hospital Sentosa untuk mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan keluar selepas keadaan stabil dan mampu berfungsi dengan bantuan ubat-ubatan.
Namun, beliau menjelaskan cabaran timbul apabila individu yang sama berulang kali terlibat dalam operasi penyelamatan gelandangan kerana masalah asas tidak dapat diselesaikan secara menyeluruh.
Menurut beliau, kerajaan negeri menubuhkan Tempat Transit Gelandangan (TTG) di Kuching dan Sibu sebagai langkah menyediakan perlindungan sementara yang lebih selamat dan teratur kepada golongan berkenaan.
TTG Kuching kini menempatkan 14 lelaki dan dua perempuan, manakala TTG Sibu menempatkan 12 lelaki dan enam perempuan.
Fatimah berkata, pusat transit itu menyediakan kemudahan tempat tidur, makanan, minuman serta kemudahan asas lain selain turut menawarkan perkhidmatan kaunseling, bantuan pekerjaan dan program reintegrasi sosial.
“Matlamat kita ialah menggabungkan kebajikan dan kesihatan mental untuk pencegahan, rawatan, sokongan keluarga serta peluang ekonomi agar mereka dapat kembali berfungsi dalam masyarakat,” katanya.
Tambahnya, pusat transit baharu di Bintulu dan Miri sedang dalam peringkat pelaksanaan selepas peruntukan disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), dan kini berada dalam proses perolehan sebelum dijangka beroperasi sekitar September hingga Oktober 2026.
Pada masa sama, beliau menegaskan keperluan memperkukuhkan kerjasama antara Kementerian Kesihatan, agensi kebajikan, NGO dan komuniti dalam menangani isu kesihatan mental serta gelandangan secara lebih menyeluruh dan bersepadu. – AYLA MEDINA /JIWA BAKTI
