MUKAH: Setiap penerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian diingatkan perlu mengemukakan laporan lengkap pelaksanaan program peruntukan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata ini bagi memastikan penggunaan peruntukan direkodkan secara teratur dalam sistem.
“Laporan yang dikemukakan perlu lengkap termasuk tarikh dan nama program untuk tujuan rekod rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penyampaian geran berkenaan di Pusat Khidmat N57 Tellian, di sini semalam.
Di majlis itu, sebanyak 44 penerima di kawasan DUN Tellian menerima peruntukan MRP berjumlah RM723,000 bagi melaksanakan pelbagai program dan aktiviti komuniti di kawasan masing-masing.
Di samping itu, Royston berkata, pengagihan peruntukan MRP dibuat berdasarkan permohonan serta keperluan semasa di kawasan DUN Tellian.
“Bagi kawasan yang tidak menerima MRP, mereka tetap mendapat manfaat melalui pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP),” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau berharap penerima memanfaatkan peruntukan ini secara berhemah demi manfaat komuniti.
