KUCHING: Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) Negara menyasarkan penglibatan 150,000 remaja di seluruh negara menjelang 2030.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, ia termasuk lebih 25,000 remaja di Sarawak.
Tambahnya, langkah itu bagi memperkukuhkan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial.
“Sasaran dari kalangan institusi pendidikan dan komuniti.
“Dengan sejumlah 60,000 murid daripada lebih 1,000 sekolah di seluruh Malaysia,” katanya semasa berucap pada perasmian Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) Negara peringkat negeri Sarawak bersama pelajar dan Ibu Bapa di Sekolah Seni Malaysia Sarawak (SSeMS) di sini, hari ini.
Jelas Nancy, program ini juga akan melahirkan 1,000 Pendidik Remaja Muda (Junior TE).
Jelas beliau, Junior TE akan berperanan sebagai “ejen perubahan” dalam membimbing dan mendidik rakan sebaya melalui pendekatan “peer-to-peer”, seiring dengan PEKERTI iaitu Peka, Peduli dan Prihatin.
Tambahnya, Sarawak dipilih sebagai lokasi peluncuran rasmi Program PEKERTI Negara.
Manakala di peringkat negeri, beliau memaklumkan pelaksanaan awal tahun ini melibatkan Program KafeTEEN yang akan melahirkan 60 Junior TE dan memberi manfaat kepada lebih 5,000 murid.
Jelas Nancy lagi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) terus memperluaskan Program PEKERTI.
Tegasnya, ia bagi melahirkan generasi muda yang lebih berpengetahuan, berkeyakinan dan mampu membuat keputusan yang tepat. – NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
