MIRI: Kerajaan Sarawak merancang memperluaskan penggunaan Pusat Kawalan Bandar Pintar ke seluruh negeri menerusi platform digital bersepadu yang akan menyelaras operasi setiap bandar di bawah satu sistem yang sama.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia sekali gus memperkukuh usaha merealisasikan bandar pintar rendah karbon.
Katanya, pendekatan itu membolehkan semua pusat kawalan menggunakan aplikasi dan perisian seragam, sekali gus memudahkan proses pemantauan, penyelenggaraan serta naik taraf sistem secara berpusat.
Menurut beliau, sistem berkenaan mula digunakan di Kuching dan kini diperluaskan ke Miri sebelum diperkenalkan secara berperingkat ke kawasan lain di Sarawak sebagai sebahagian daripada agenda transformasi digital kerajaan negeri.
“Objektif kita adalah membangunkan bandar pintar rendah karbon di seluruh Sarawak. Dengan menggunakan satu platform sama, pengurusan sistem menjadi lebih cekap dan mudah diselaraskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Pusat Kawalan Bandar Pintar Miri, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pembangunan teknologi digital di Sarawak kini berada pada landasan yang memberangsangkan sehingga membolehkan pelbagai penyelesaian pintar dibangunkan sendiri bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
