MIRI: Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memperkukuhkan usaha mitigasi banjir di Sarawak melalui pelaksanaan 52 Projek Cakna MADANI.
Projek itu membabitkan peruntukan RM9.46 juta di bawah Rancangan Boleh Pinda Satu (RP1), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) Tahun 2026.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, daripada 52 projek itu, 12 siap, 13 sedang dilaksanakan manakala 27 lagi berada di peringkat pra-pelaksanaan.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Projek Kerja-Kerja Penstabilan Tebing Sungai di Tanah Perkuburan Tab Cinaq di sini, hari ini.
Projek bernilai RM134,682 itu bermula pada Mei lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada November tahun ini.
Skop projek melibatkan pembinaan tembok gabion sepanjang 50 meter bagi menstabilkan tebing sungai, mengurangkan hakisan serta melindungi kawasan tanah perkuburan dan infrastruktur berhampiran daripada risiko runtuhan.
Dalam lawatan sama, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut mendengar taklimat mengenai kemajuan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Miri, Lembangan Sungai Miri yang membabitkan
keseluruhan RM31 juta.
Kerja fizikal projek RTB itu bermula pada Oktober 2023 dan kini mencapai kemajuan sebanyak 58.11 peratus, dengan sasaran siap sepenuhnya pada November tahun ini.
Projek RTB Sungai Miri merangkumi pembinaan tembok tebatan banjir, kolam takungan, rumah pam, pintu kawalan banjir, naik taraf sistem saliran, perangkap sampah serta pemasangan sistem mekanikal dan elektrikal.
Secara keseluruhan, Kerajaan Persekutuan melalui PETRA telah meluluskan 29 projek tebatan banjir di Sarawak dengan nilai keseluruhan RM3.834 bilion bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi risiko banjir.
Kerajaan Persekutuan menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan projek berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kemampanan, kesejahteraan dan penyampaian perkhidmatan yang berkesan.
