BETONG: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saratok muncul juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Bahagian (MSSB) Betong Ke-22 yang berlangsung di Kompleks Sukan Betong, petang semalam.
Kejayaan itu sekali gus melakar hatrik kejuaraan buat SMK Saratok selepas berjaya mempertahankan gelaran selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada 2024, 2025 dan 2026.
Berdasarkan keputusan rasmi, SMK Saratok mengumpul 32 pingat emas, 24 perak dan 23 gangsa bagi mengatasi pencabar lain dalam kejohanan tersebut.
SMK Datuk Patinggi Kedit Betong muncul naib juara keseluruhan dengan kutipan 22 emas, 19 perak dan 11 gangsa, manakala SMK Saribas menduduki tempat ketiga selepas meraih 13 emas, tujuh perak dan 12 gangsa.
SMK Bahasa Malaysia Saratok pula berada di kedudukan keempat dengan 11 emas, 15 perak dan 12 gangsa, diikuti SMK Saint Augustine Betong di tempat kelima menerusi kutipan 11 emas, 13 perak dan 14 gangsa.
Kejohanan tahunan itu menghimpunkan sekolah-sekolah menengah dari seluruh Bahagian Betong bagi merebut gelaran juara keseluruhan selain memilih atlet terbaik untuk mewakili bahagian ke kejohanan peringkat negeri.
Prestasi cemerlang SMK Saratok membuktikan komitmen tinggi pihak sekolah, jurulatih, guru dan atlet dalam mengekalkan kecemerlangan sukan menerusi latihan yang sistematik serta semangat berpasukan yang kukuh.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu pada majlis penutupan kejohanan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua sekolah bertanding serta berharap atlet terpilih terus mengharumkan nama Bahagian Betong di peringkat lebih tinggi.
