MIRI: Bandar Miri berpotensi menjadi bandar pintar rendah karbon yang mengutamakan penggunaan teknologi dan mengekalkan persekitaran bersih.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata persekitaran bersih, indah dan mampan itu sebagai destinasi pelancongan.
“Sistem pengangkutan awam juga perlu beralih kepada tenaga bersih seperti hidrogen atau elektrik agar selari dengan aspirasi bandar lestari dan rendah karbon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Miri Smart City Command Center(MSCCC), di sini.
Abang Johari berkata, konsep bandar pintar rendah karbon akan diperluaskan ke seluruh Sarawak dengan pendekatan pembangunan yang disesuaikan mengikut keunikan setiap kawasan.
Menurutnya, bandar pintar juga ialah bandar menggunakan teknologi untuk meningkatkan keselamatan, perkukuh perkhidmatan awam, meningkatkan daya saing perniagaan serta memudahkan kehidupan rakyat.
Katanya pelaksanaannya perlu disokong oleh pembangunan modal insan dan tadbir urus digital yang cekap bagi memastikan teknologi dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Sebab itu kita menghantar pelajar ke universiti secara percuma supaya mereka mampu menguasai teknologi dan mengendalikan sistem masa depan,” katanya.
“Menjelang 2030, kita menganggarkan dapat mewujudkan antara 39,000 hingga 48,750 pekerjaan digital berkemahiran tinggi,” katanya.
Katanya, sejak dasar ekonomi digital diperkenalkan, kira-kira 540,000 peserta mengikuti program peningkatan kemahiran dan latihan semula dalam bidang digital.
Selain itu mengenai Miri Smart City Command Center, beliau mencadangkan supaya pusat kawalan itu membangunkan satu aplikasi yang menyediakan rumusan aktiviti setiap tujuh hari berdasarkan data yang dikumpulkan sepanjang operasi 24 jam.
Menurut beliau, cadangan tersebut akan membantu pihak berkuasa mengenal pasti trend, menambah baik penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan kecekapan pentadbiran bandar.
Hadir sama, mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi.
