Budaya, adat resam kaum tunjang perpaduan Sarawak

LAWAS: Rakyat Sarawak perlu mempertahankan budaya dan adat resam unik kaum masing-masing agar difahami generasi muda.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ini kerana kepelbagaian budaya dan adat resam itu menjadi pengukuh jati diri rakyat Sarawak dalam menghadapi cabaran untuk mengekalkan perpaduan.

“Budaya dan adat juga harus diperturunkan kepada generasi yang akan datang supaya nilai-nilai budaya ini akan menjadi satu jalur untuk mengikat kesatuan dan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Irau Aco Lun Bawang Sarawak Kali Ke-39 di Taman Awam Lawas, di sini, semalam.

Terdahulu, Awang Tengah turut menyertai perarakan budaya melibatkan 39 kontingen daripada persatuan-persatuan Lun Bawang di Lawas, Sabah, Brunei dan Persatuan Cina Lawas.

Ini diikuti dengan jamuan rakyat melibatkan makanan tradisi masyarakat Lun Bawang di Arena Lawas yang menyajikan berbagai hidangan tempatan masyatakat Lun Bawang, Melayu Brunei, Kedayan dan lainnya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan Baru Bian, Ahli Parlimen Sipitang Sabah Matbali bin Musah, Presiden Persatuan Lun Bawang Sarawak Jerry Siran Lagang dan tetanu daripada Kalimantan dan Brunei.