Sarawak laksana penjagaan kesihatan digital, akses perkhidmatan kesihatan diperluas

SIBU: Sarawak bakal menjadi negeri pertama di negara ini melaksanakan sistem penjagaan kesihatan digital pada penghujung 2026, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib.

Beliau berkata, langkah itu sejajar dengan usaha memperluaskan akses perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada rakyat tanpa mengira lokasi.

Katanya, sebahagian besar klinik kesihatan kerajaan di Sarawak beroperasi menggunakan platform digital, selaras komitmen Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memodenkan sistem penjagaan kesihatan negara.

“Usaha tersebut memberi tumpuan kepada peningkatan ekuiti akses perkhidmatan kesihatan supaya rakyat di pedalaman menerima mutu rawatan setanding dengan kawasan bandar.

“Tumpuan utama kami untuk meningkatkan ekuiti dalam akses, memastikan pesakit di Bahagian Kapit menerima standard penjagaan asas yang sama seperti pesakit di Kuala Lumpur,” katanya ketika merasmikan Persidangan Transforming Brain Injury (TBI) 6.0 di sini, semalam.

Hanifah menjelaskan, nisiatif telekesihatan seperti MediRover dan sistem MediDoc kini memanfaatkan rangkaian 5G serta teknologi satelit membawa perkhidmatan pakar terus kepada komuniti luar bandar.