Peluang, perlindungan seimbang anak Cerebral Palsy

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus komited memperkukuh perlindungan, kebajikan dan pembangunan kanak-kanak Cerebral Palsy, kata menterinya, Dato’ Sri Nancy Shukri.

Menurut beliau, langkah itu bagi memastikan mereka mendapat hak, peluang dan akses yang sama untuk pendidikan, pemulihan serta perkhidmatan sokongan.

“Sehingga 31 Mei 2026, seramai 843,759 individu berdaftar sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) di Malaysia.

“Ia termasuk 32,270 penghidap Cerebral Palsy,” katanya pada majlis perasmian Pesta Makanan Wishesland Kuching 2026 di Dewan Masyarakat, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, hari ini.

Jelas Nancy, KPWKM akan terus memperluas perkhidmatan kebajikan, pemulihan dan intervensi awal serta memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Selain itu, jelasnya kerjasama bersama sektor swasta dan komuniti bagi mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif turut diperkukuhkan.

Pada majlis itu, Nancy turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 dari kementeriannya kepada Persatuan Cerebral Palsy Bahagian Kuching dan Samarahan.

Peruntukan tersebut jelasnya bagi menyokong program dan aktiviti untuk manfaat anak-anak Cerebral Palsy serta keluarga mereka. – NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI