KUCHING: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memastikan organisasi masing-masing berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) demi akauntabiliti dan ketelusan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, langkah itu juga untuk melayakkan mereka memohon geran dan dana daripada kerajaan.
Menurut beliau, pendaftaran dengan ROS yang di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) merupakan syarat penting bagi memastikan setiap permohonan dana mematuhi peraturan yang ditetapkan serta menjamin akauntabiliti dalam pengurusan peruntukan awam.
“Pemohon yang memohon dana daripada kami (KPWKM), kemententerian memerlukan pendaftaran NGO.
“Ada yang memohon dana, tetapi tidak berdaftar, kita tidak dapat tunaikan kerana sudah menjadi peraturan kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pesta Makanan Wishesland Kuching 2026 di Dewan Masyakat, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, hari ini.
Tambahnya, kerajaan tidak dapat mempertimbangkan permohonan daripada NGO yang tidak berdaftar kerana setiap geran perlu disalurkan mengikut prosedur dan syarat yang ditetapkan.
Katanya, ini penting bagi memastikan pengurusan dana dilakukan secara telus dan berintegriti.
Tegas beliau lagi, langkah itu juga bertujuan mengelakkan penyalahgunaan nama NGO oleh pihak yang tidak sah atau tidak mempunyai status pendaftaran yang jelas.
Tambahnya, agensi kerajaan kini lebih berhati-hati dalam menilai setiap permohonan bagi memastikan dana awam disalurkan kepada pertubuhan yang benar-benar layak dan menjalankan aktiviti untuk manfaat masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa NGO tidak seharusnya digunakan sebagai platform politik, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada aktiviti kebajikan, pembangunan masyarakat dan program sosial.
Dalam masa sama, beliau berharap lebih banyak NGO tampil mendaftarkan organisasi mereka agar dapat bekerjasama dengan kerajaan secara lebih tersusun serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan dana dan pelaksanaan program. – NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
