KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) optimis mampu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-13 (PRN-13) akan datang tanpa mengira sama ada pilihan raya itu diadakan menggunakan 82 atau 99 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri menghormati proses yang sedang dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung usul pertambahan 17 kerusi DUN baharu yang telah diluluskan.
“Proses persempadanan semula memerlukan beberapa prosedur termasuk pameran awam, penelitian terhadap bantahan dan maklum balas sebelum dimuktamadkan, sekali gus dijangka mengambil masa sekitar enam hingga tujuh bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan dana pembinaan bangunan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok di Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Juma’ani, Jalan Kulas, di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, pilihan raya merupakan proses demokrasi yang perlu mematuhi segala peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa SPR.
Mengulas kemungkinan pertambahan 17 kerusi itu tidak dapat digunakan pada PRN akan datang, Abang Johari menjelaskan perkara tersebut bukan isu besar kerana GPS tetap bersedia menghadapi pilihan raya dalam apa juga keadaan.
“Jika menggunakan 82 kerusi, kita bersedia. Jika 99 kerusi, kita juga bersedia. Yang lebih penting ialah memastikan Sarawak terus menikmati kestabilan politik serta kesinambungan dasar pembangunan,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dato Hilmy Othman serta kenamaan lain.
