Kadar tambang baharu AirBorneo dijangka diketahui pertengahan Julai ini

KUCHING: Orang ramai dijangka mengetahui kadar tambang baharu AirBorneo seawal minggu depan atau selewat-lewatnya pertengahan Julai ini, dengan harga yang dijanjikan lebih kompetitif.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pakej tambang yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan milik negeri itu turut merangkumi kemudahan bagasi serta hidangan, sekali gus memberikan nilai tambah kepada penumpang.

“Insya-Allah, kita akan umumkan minggu depan atau pertengahan Julai.

“Apa yang kita janjikan sebelum ini akan dilaksanakan, termasuk tambang bagi laluan seperti Kuching ke Kuala Lumpur yang sudah merangkumi bagasi dan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Dana Pembinaan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok di Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Juma’ani, Jalan Kulas, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Abang Johari belum mendedahkan kadar tambang yang bakal ditawarkan, sebaliknya memaklumkan semua butiran akan diumumkan melalui kenyataan rasmi dalam masa terdekat.