KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkasakan pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban bagi mempercepatkan kemajuan demi kesejahteraan rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata usaha itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan Bukit Sadok sebagai destinasi pelancongan berasaskan sejarah dan warisan.
Beliau berkata, projek Jambatan Sungai Paku yang dijadual dirasmikan pada penghujung Julai ini dijangka meningkatkan jaringan pengangkutan, memudahkan pergerakan penduduk dan merancakkan aktiviti ekonomi di luar bandar.
Menurutnya, kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan RM25 juta bagi menaik taraf Jalan Ulu Rimbas sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh kemudahan infrastruktur di Bukit Saban.
Uggah berkata, sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Bahagian Betong. Setiap ADUN menerima kira-kira RM200 juta untuk projek yang memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau yang juga ADUN Bukit Saban berkata, hampir RM9 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek pertanian melibatkan penanaman kelapa sawit dan lada bagi meningkatkan pendapatan isi rumah penduduk luar bandar.
“Fokus utama Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memperkukuh ekonomi rakyat dan meningkatkan pendapatan isi rumah. Jangan lepaskan peluang yang disediakan menerusi pelbagai program dan inisiatif kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Kebudayaan Kelab Anak Asal Bukit Saban (KAABS) 2026 di sini, malam tadi.
