KUCHING: Kuching Life Care Society’ (KLCS) menerima sumbangan sebuah ‘van penyayang’ dalam usaha menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pesakit yang memerlukan penjagaan paliatif.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sumbangan tersebut membuktikan kepercayaan masyarakat terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu golongan kurang mampu.
“NGO melakukan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan masyarakat,” katanya selepas menyaksikan penyerahan van tersebut, di sini, hari ini.
Menurut Fatimah, van berkenaan merupakan sumbangan peribadi Chan Mang Tiam dari Mukah untuk membantu meningkatkan akses pengangkutan bagi pesakit yang memerlukan rawatan perubatan dan perkhidmatan penjagaan paliatif di rumah.
Hadir sama Presiden KLCS Hung Sung Huo.
Setakat ini KLCS memiliki tujuh ambulans, termasuk sebuah yang bakal diterima, selain sebuah van khas Orang Kelainan Upaya (OKU) dan sebuah van penyayang menjadikan keseluruhan aset pengangkutannya sebanyak 10 unit.
