SIBU: Program SarawakKu Sayang 2026 yang berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1 di sini mulai 10 hingga 12 Julai ini bakal menghimpunkan 47 agensi kerajaan.
Ia menawarkan 158 kaunter perkhidmatan dalam usaha mendekatkan kerajaan dengan rakyat menerusi konsep pusat sehenti.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee berkata, segala persiapan di lokasi program kini hampir siap sepenuhnya dengan hanya berbaki pemasangan pendingin udara, karpet serta susun atur kerusi.
Beliau berkata, Pavilion Sarawak dan Sarawak Kitchen & Sales akan mula beroperasi pada 9 pagi, 10 Julai, menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk permohonan Skim Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Pendidikan Tinggi Percuma (FTS), bantuan kebajikan, peluang pekerjaan menerusi Job Sarawak serta pelbagai khidmat agensi kerajaan.
“Sebanyak 10 syarikat swasta turut mengambil bahagian dengan menyediakan kaunter permohonan pekerjaan yang membolehkan orang ramai memohon dan menghadiri temu duga secara terus di lokasi program,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, Pavilion Sarawak turut mempamerkan pelbagai projek pembangunan di Bahagian Sibu termasuk perancangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), manakala Sarawak Kitchen & Sales menampilkan makanan tradisional seperti kampua, kompia, dabai dan dumpi serta jualan produk usahawan tempatan.
Beliau memberitahu, acara kemuncak ialah majlis perasmian oleh Premier Sarawak pada 11 Julai jam 10.30 pagi dengan sasaran kehadiran melebihi 5,000 pengunjung.
Sebelum majlis perasmian, Premier dijadual melawat Projek Rakyat di Bukit Lima Nature Reserve bagi meninjau pembinaan laluan pejalan kaki sepanjang 600 meter (m) sebelum bersarapan di Pasar Sentral Sibu.
Pada malam 11 Julai pula akan diadakan Konsert Rakyat yang menampilkan artis tempatan dan disusuli program Fun Walk sejauh 2.5 kilometer (km) serta Fun Run sejauh 3.5 km pada 12 Julai dengan penyertaan terbuka kepada orang ramai.
Selain itu, pengunjung berpeluang menyertai cabutan bertuah e-peraduan yang menawarkan 11 motosikal sebagai hadiah utama.
Penyertaan boleh dibuat dengan mendaftar melalui kod QR yang disediakan di lokasi program, manakala pemenang diwajibkan hadir semasa cabutan akhir pada 12 Julai untuk menuntut hadiah.
Hii berkata, program itu turut menyediakan pelbagai perkhidmatan lain termasuk saringan kesihatan, kaunter aduan awam serta pelbagai urusan berkaitan perkhidmatan kerajaan.
Beliau berharap orang ramai di Sibu dan kawasan sekitarnya memanfaatkan peluang itu untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di bawah satu bumbung sepanjang penganjuran Program SarawakKu Sayang.
