Boulevard Samarahan fasa pertama hampir siap

KOTA SAMARAHAN: Fasa pertama pembangunan Samarahan Boulevard kini hampir siap, manakala pelaksanaan fasa kedua akan dimulakan dalam masa terdekat.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek yang bernilai melebihi RM100 juta itu bakal menjadi mercu tanda ikonik di bahagian ini.

Projek itu katanya, menyediakan ruang yang sesuai untuk penganjuran pelbagai acara berskala besar di Sarawak.

“Fasa pertama projek ini sudah hampir siap dan kini akan memasuki fasa kedua. Kita juga berasa bertuah kerana mempunyai kawasan tanah yang sesuai untuk membangunkan boulevard ini, yang bakal menjadi mercu tanda ikonik di Kota Samarahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penangguhan ‘Samarahan Food and Cultural Festival 2026’, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata fasa pertama projek itu sahaja melibatkan kos melebihi RM20 juta.

Beliau berkata, semasa proses penilaian kos projek, beberapa komponen yang dicadangkan dalam pelan asal terpaksa dikeluarkan berikutan pengurangan kos yang dibuat.

Justeru, beliau mengadakan perbincangan dengan pihak arkitek dan kementerian sebelum memohon kepada Premier Sarawak agar kos projek itu dipertimbangkan semula supaya pelaksanaannya dapat dikembalikan hampir kepada cadangan asal perunding.

“Apabila kos diturunkan terlalu mendadak, banyak komponen terpaksa dikeluarkan termasuk kemudahan riadah.

“Sebab itu saya memohon supaya kos projek dipertimbangkan semula agar ia kembali hampir kepada jumlah asal yang dicadangkan oleh perunding,” ujarnya.

Terdahulu, semasa berucap, Abdul Karim berkata, pembinaan boulevard berkenaan merupakan perancangan jangka panjang kerajaan bagi menyediakan lokasi alternatif untuk penganjuran acara rasmi dan sambutan berskala besar di Sarawak.

Menurut beliau, sejak tahun 1963, pelbagai acara utama termasuk Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan acara yang melibatkan perarakan diadakan di Padang Merdeka, Kuching, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas di bandar raya setiap kali program berlangsung.

“Saya beritahu dengan Premier Sarawak, suatu hari nanti masa itu kita dah tiada, saya dah tiada, kita meninggal legasi.

“Apabila kita hendak mengadakan sambutan Hari Sarawak, Hari Kebangsaan dan Hari Jadi TYT 30 tahun akan datang atau 40 tahun akan datang, semuanya boleh diadakan di bahagian Samarahan kerana kita ada boulevard terbesar, boulevard terpanjang,” ujarnya. – UKAS