Swinburne sumbang kepakaran realisasikan satelit pertama Sarawak menjelang 2030

KUCHING: Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak berpotensi menjadi antara institusi utama yang menyumbang kepada pembangunan satelit pertama Sarawak.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (Pendidikan dan Inovasi) I, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, Swinburne Sarawak melahirkan pakar dalam bidang kejuruteraan elektronik, robotik, mekatronik dan pembangunan perisian sejajar dengan sasaran kerajaan negeri melancarkan satelit nano (CubeSat) pertama menjelang 2030.

“Pembangunan satelit memerlukan kerjasama pelbagai disiplin dan bukan hanya bergantung kepada kepakaran kejuruteraan aeroangkasa. Ia melibatkan jurutera elektronik, perisian, komputer, teknologi maklumat, kamera serta analisis data,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Pelibatan Anak Sarawak dalam Projek Nano Satelit dan Aspirasi Pembangunan Industri Aeroangkasa Sarawak di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, di sini, hari ini.

Menurut Dr Annuar, sesi perkongsian bersama pakar teknologi satelit seperti Irfan penting bagi memberi inspirasi kepada pelajar terhadap bidang aeroangkasa yang masih terbatas, khususnya di Sarawak, dan akan diperluaskan ke universiti lain terutama yang mempunyai pelajar kejuruteraan.

“Saya berharap pelajar hari ini mendapat inspirasi serta memahami masa depan bidang kejuruteraan aeroangkasa dan ekonomi aeroangkasa,” katanya.

Beliau turut memuji pelibatan aktif pelajar Swinburne yang mengemukakan soalan teknikal sepanjang sesi menunjukkan minat tinggi terhadap teknologi satelit walaupun masih terdapat ruang penambahbaikan.

Dalam pada itu, Dr Annuar berkata projek CubeSat sebagai sebahagian aspirasi Sarawak melancarkan satelit pertama menjelang 2030 kini diterajui Universiti i-CATS yang memulakan pengajian berkaitan kejuruteraan aeroangkasa.

Sementara itu, Pro Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne Sarawak, Ir. Profesor Lau Hieng Ho berkata, universiti itu bersedia menyokong pembangunan industri satelit Sarawak menerusi kepakaran dalam kejuruteraan elektrik dan elektronik, robotik, mekatronik serta kejuruteraan perisian.

Beliau berkata, pembangunan satelit memerlukan kerjasama pelbagai bidang kepakaran bagi merealisasikan aspirasi kerajaan Sarawak melancarkan satelit pertama negeri itu pada 2030.