KUCHING: Seramai 62 peserta daripada sayap Pergerakan Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N6 Tupong, N7 Samariang, N8 Satok dan N10 Pending menyertai Program Cakna Demokrasi Petra Jaya yang berlangsung di SMA Creative Heritage Innovation Center, di sini, baru-baru ini.
Program itu dianjurkan bagi memperkukuhkan kefahaman belia mengenai demokrasi, kepimpinan, sejarah perjuangan serta memperkasakan peranan generasi muda dalam pembangunan masyarakat.
Antara pengisian program termasuk modul berkaitan demokrasi dan kepimpinan, Jejak Perjuangan, Jambatan Generasi serta pendedahan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan literasi digital dalam kepimpinan belia.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana MenterIr. Ir. Irwan Zulkarnain Dato Muhammad Hasbie.
Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi Parti PBB Sulhie Salleh, serta Presiden Perintis Kepimpinan Sarawak, Adzim Adzmi Abdul Rahman.
Program ini diharap dapat melahirkan lebih ramai belia yang berpengetahuan, berintegriti, celik digital serta bersedia memikul tanggungjawab sebagai pemimpin masa hadapan demi kemajuan masyarakat, negeri dan negara.
