KUCHING: Jambatan Sejingkat sepanjang 1.2 kilometer (km) di sini dijangka siap menjelang Oktober tahun ini, kata Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan,. Datuk Aidel Lariwoo.
Beliau berkata, berdasarkan kemajuan yang dicapai setakat ini, jambatan terbabit akan siap mendahului jadual.
Jambatan ini merupakan sebahagian daripada laluan pertama projek Jalan Utama Kedua yang menghubungkan Sejingkat, Kuching ke keseluruhan rangkaian jalan lingkaran kedua, katanya kepada media semasa melawat tapak projek itu di sini ini.
Beliau berkata, setakat ini, kemajuan pembinaan Jambatan Batang Sejingkat dan keseluruhan pakej tersebut sangat baik, dengan prestasi fizikal yang memberangsangkan dan mendahului jadual.
“Kerja-kerja yang masih berbaki kini tertumpu kepada pembinaan jalan, khususnya laluan pendekatan di sebelah Sejingkat dan Tanjung Bako.
Laluan di Tanjung Bako hampir siap sepenuhnya, manakala di Sejingkat masih dalam proses penyiapan,” tegas beliau.
Turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar yang juga ADUN Demak Laut, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Menurut Aidel, apabila siap kelak, jambatan ini dijangka menjadi laluan utama bagi penduduk dari seluruh Sarawak menuju ke Kuching, termasuk dari kawasan pedalaman dan pesisir.
Selain itu, katanya, laluan ini juga dirancang sebagai akses penting ke kawasan pembangunan masa depan termasuk lapangan terbang baharu dan pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang.
Perancangan turut melibatkan pembinaan jambatan dan jalan di kawasan Lubak Batu Belat bagi menghubungkan Tanjung Embang, yang kini telah diluluskan dengan peruntukan hampir RM300 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, katanya.
Kerajaan Sarawak, tambahnya, turut merancang membina beberapa jajaran jalan baharu yang menghubungkan kawasan Samarahan dan Kuching ke lokasi lapangan terbang baharu, bergantung kepada pelan pembangunan yang akan dilaksanakan.
Jarak dari jambatan ke kawasan Tanjung Embang, katanya, dianggarkan kurang daripada 10 kilometer (km), dengan laluan dari Batu Belat ke Beliung sekitar tujuh hingga sembilan km sahaja.
Beliau berkata, pembukaannya kelak dijangka dapat mengurangkan kesesakan teruk yang berlaku di kawasan pesisir seperti Asajaya, Sadong Jaya dan Samarahan, yang sebelum ini menyebabkan perjalanan mengambil masa sehingga tiga hingga empat jam.
Namun begitu, perancangan laluan tambahan di kawasan Sejingkat juga diperlukan bagi mengelakkan kesesakan baharu memandangkan reka bentuk sedia ada hanya melibatkan jalan dua lorong, kata Aidel.
Beliau menambah, laluan baharu ke arah Kuching perlu dibangunkan bagi memastikan aliran trafik lebih lancar apabila jambatan ini mula beroperasi.
