85 sekolah daif berjaya dibaik pulih

SELANGAU: Sehingga kini, pelaksanaan projek RM1 bilion Pembangunan Semula Sekolah Daif di negeri ini menunjukkan kemajuan memberangsangkan dengan 85 sekolah daif kritikal berjaya disiapkan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Ing berkata, dengan siapnya 85 sekolah terbabit, ia memberi kepada ribuan murid di seluruh Sarawak.

Kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, katanya ketika merasmikan Projek Pembangunan Semula Sekolah Daif di Sarawak di bawah Peruntukan RM1 Bilion di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Penghulu Imban, Sekuau, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, setiap projek yang disiapkan bukan sekadar menambah baik infrastruktur, malah membuka lembaran baharu kepada pembangunan pendidikan di negeri ini.

Di daerah Selangau sahaja, katanya, lima sekolah daif turut dibangunkan semula menerusi projek itu, iaitu SK Dato Penghulu Imban, SK Batu 36, SK Dijih, SK Sungai Sepiring dan SK Sangan Iban.

Menurutnya, penyiapan kemudahan infrastruktur baharu itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan kualiti fasiliti pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar.

“Infrastruktur berkualiti merupakan asas penting dalam menyokong sistem penyampaian pendidikan yang berkesan.

“Kemudahan yang lengkap membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dengan lebih optimum, sekali gus membantu melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” katanya.

Mengenai SK Dato Penghulu Imban, Roland Sagah berkata projek pembangunan semula sekolah itu melibatkan kos RM8.4 juta merangkumi pembinaan sebuah blok akademik dengan 12 bilik darjah, blok pentadbiran, empat unit kuarters guru serta kemudahan tandas murid dan guru.

Beliau berkata, projek itu bermula pada 27 Oktober 2021, siap sepenuhnya pada 31 Ogos 2023 sebelum memperoleh Certificate of Practical Completion (CPC) pada 25 September 2023.