KUCHING: Seramai 980 pelari menyertai Breaking News Run 2.0 Edisi Malam yang mengeratkan hubungan pengamal media dan orang ramai, di sini, malam tadi.
Larian dianjurkan bersama Commonwealth Journalists Association (CJA) Cawangan Sarawak dan Kuching Division Journalists Association (KDJA) terbahagi kepada Larian Kompetitif 7km atau Larian Santai 3km bermula di Pullman Kuching dan berakhir di The Hills.
Larian 7km dilepaskan pada jam 7.15 malam dengan tawaran hadiah wang tunai kepada 10 pemenang teratas, diikuti Larian Santai 3km pada jam 7.25 malam.
Pelepasan larian disempurnakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Acara ini direalisasikan dengan tajaan daripada Anytime Fitness, FHR Alliance, Kementerian Belia dan Sukan, Petra Energy Berhad, Pullman Kuching, The Hills, Lee Fah Mee Trading, TSL Marketing Sdn Bhd dan Harissons Trading.
Para peserta turut menikmati pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk keahlian gim Anytime Fitness selama setahun, tablet Honor Pad X8a, kasut larian Brooks, pakej penginapan dan makan di Pullman Kuching, visor 2XU, topi Brooks serta baucar urutan Attiya Spa.
Pengerusi CJA Sarawak, Nancy Nais merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan jawatankuasa penganjur atas komitmen dan sokongan yang menjayakan Breaking News Run 2.0.
“Saya menzahirkan terima kasih kepada semua pelari, peserta, rakan media dan sukarelawan yang menjadikan acara ini satu realiti. Sokongan anda telah menukar idea kepada satu perayaan komuniti yang bermakna,” katanya.
Presiden KDJA, Ronnie Teo berkata melalui Breaking News Run, pihaknya ingin menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan wartawan serta pengamal media.
“Ini agar mereka mengekalkan keseimbangan kerja dan kehidupan, serta kekal cergas dari segi mental dan fizikal untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.”katanya.
