KUCHING: Situasi global yang tidak menentu susulan ketegangan dan pelanggaran perjanjian gencatan senjata menimbulkan cabaran ekonomi, bekalan tenaga dan kewangan pada negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata dari segi ekonomi keadaan tersebut meningkatkan kos pengeluaran manakala dari segi bekalan tenaga negara ketika ini bekalan itu masih terjamin hasil usaha dan rundingan berterusan oleh Petronas.
“Turun naik harga pasaran minyak dan gas tetap menjadi cabaran kepada kedudukan kewangan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penangguhan Regata Sejijak, di sini hari ini.
Manakala, semalam Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak ialah Dato Fazzrudin Abdul Rahman merasmikan regata berkenaan.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, berikutan potensi cabaran itu, kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada usaha memastikan kestabilan kewangan negara serta kebajikan rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan dan subsidi.
Mengulas mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau berkata keputusan rakyat perlu dihormati selaras dengan prinsip demokrasi.
“Yang penting ialah kerajaan negeri dan Persekutuan perlu terus bekerjasama erat bagi memastikan pembangunan berjalan lancar dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” ujarnya.
Sementara itu mengenai Regata Sejijak, Fadillah berkata penyertaan yang memberangsangkan bukan sahaja melibatkan penduduk Kampung Sejijak, malah turut menarik kehadiran komuniti berhampiran.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), jawatankuasa penganjur, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta para penaja yang menjayakan acara tahunan berkenaan.
Menurutnya, selain menjadi platform aktiviti riadah dan sosial, program seperti Regata Sejijak memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama dalam kalangan komuniti serta membina hubungan yang lebih erat antara penduduk.
“Program seumpama ini bukan sahaja merapatkan hubungan masyarakat, malah membantu melahirkan kepimpinan di peringkat akar umbi yang mampu memacu pembangunan kampung,” katanya.
