KUCHING: Ibu bapa, guru dan masyarakat perlu terus memberi dorongan kepada anak-anak supaya mengejar kecemerlangan akademik.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ini bagi memastikan mereka berpeluang melangkah ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan menjadi tenaga mahir yang diperlukan Sarawak.
“Kita tidak mahu anak-anak generasi muda tercicir dalam bidang pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai 2026 di Dewan Wisma Sabati, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 185 pelajar menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Peringkat DUN N.4 Pantai Damai Tahun 2026.
Ini melibatkan 22 penerima Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak(UPDLP), 116 penerima Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 47 penerima Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
