Jerayawara PRO-DR 2026 perluaskan akses pendidikan, kerjaya

LONG LAMA: Jerayawara Project of Dreams Realized (PRO-DR) 2026 anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) kembali sebagai platform sehenti pendidikan, TVET dan kerjaya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, merangkap Ahli Lembaga Amanah TEGAS Dato Dennis Ngau berkata, memasuki edisi ke-11, jerayawara itu berlangsung selama 29 hari di 14 daerah seluruh Sarawak dengan penyertaan lebih 40 reruai.

“Kesungguhan pihak TEGAS bersama semua rakan strategik yang sanggup datang dari jauh bagi membawa peluang pendidikan, latihan dan kerjaya terus kepada masyarakat luar bandar membuktikan bahawa tiada anak Sarawak yang harus tercicir daripada arus pembangunan negeri,” katanya pada majlis perasmian PRO-DR Roadshow 2026, di sini.

TEGAS memaklumkan program itu membantu lebih ramai anak Sarawak mendapatkan maklumat tepat mengenai pendidikan, kemahiran dan kerjaya.

Jerayawara itu turut memperluaskan akses kepada maklumat pendidikan, TVET, pembiayaan pendidikan dan peluang pekerjaan.

Selain itu, PRO-DR 2026 menggalakkan penyertaan dalam bidang STEM, TVET dan ekonomi digital bagi memenuhi keperluan pembangunan Sarawak.

“Kerajaan Sarawak melalui Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) sedang memacu pembangunan negeri ke arah ekonomi yang lebih mampan dan berpendapatan tinggi.

Aspirasi ini memerlukan lebih ramai anak Sarawak yang berkemahiran dalam bidang TVET, STEM serta sektor-sektor strategik yang semakin berkembang, katanya.

Antara pengisian utama ialah Ekspo Pendidikan dan Kerjaya, Future TECH, Hands-On STEM serta pelbagai aktiviti interaktif.

Tambahnya, program itu turut menawarkan sesi perkongsian mengenai pendidikan selepas SPM dan STPM, TVET, pembiayaan pendidikan serta penerokaan kerjaya.

Jerayawara ini menyasarkan pelajar, lepasan sekolah, belia, ibu bapa, guru, kaunselor, pencari kerja dan masyarakat.