Kerajaan Sarawak luluskan peruntukan kepada Sekolah Tunas Bakti Kuching

KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan setiap tahun bagi pelaksanaan program Sekolah Tunas Bakti Kuching.

Menteri Pembangunan Wanita Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata peruntukan itu sebanyak RM57,725 bagi 2024 dan RM75,990 (2025).

“Sehingga Jun lalu, sebanyak RM51,990 diluluskan bagi tahun 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Ngiling Bidai 2026 Sekolah Tunas Bakti Kuching dan Sekolah Akhlak Lelaki Kuching anjuran Lembaga Pelawat Sekolah Tunas Bakti Kuching di sekolah terbabit, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, langkah ini bukan sahaja memastikan kelangsungan program kebajikan dan pendidikan, tetapi memperkukuhkan jaringan kerjasama antara kerajaan, masyarakat dan institusi berkenaan.

Beliau juga berharap suatu hari nanti akan lahir daripada Sekolah Tunas Bakti dan Asrama Akhlak Lelaki seorang profesional, usahawan anggota keselamatan atau juruteknik.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti akan terus komited memperkukuh usaha melindungi, membimbing dan memperkasa setiap anak di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).