KUCHING: Kebakaran yang melanda kawasan Bukit Kapur, Taman Negara Niah, Miri dipercayai berpunca daripada panahan petir, sekali gus disifatkan sebagai fenomena alam yang di luar kawalan manusia.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak Forestry Corporation (SFC) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak sedang bertungkus-lumus mengawal api agar tidak merebak dan mengancam khazanah hutan warisan tersebut.
“Taman Negara Niah ditutup sementara demi keselamatan pengunjung.
“Saya menasihati orang ramai supaya mengikuti maklumat rasmi sebelum merancang lawatan,” katanya pada sidang media mengenai Safari Berakit Padawan 2026 di Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Beliau turut berharap agar kebakaran ini segera dipadam demi memastikan Taman Negara Niah terus kekal memelihara warisan alam untuk generasi akan datang.
