Agenda pembangunan Sarawak kekal inklusif, berpaksikan rakyat

SIBU: Kerajaan Sarawak akan terus kekal komited untuk memastikan setiap agenda pembangunannya bersifat inklusif, saksama dan berpaksikan kepentingan rakyat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, rakyat Sarawak sama ada yang tinggal di pusat bandar atau komuniti luar bandar berhak mendapat manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan.

Tegasnya, kemajuan yang sedang dikecapi Sarawak dalam bidang kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan transformasi hijau perlu sentiasa dipandu oleh nilai, etika serta kebijaksanaan.

Menurut beliau, pembangunan yang mampan bukan hanya diukur melalui kemajuan fizikal dan pertumbuhan ekonomi, malah turut bergantung kepada kekuatan integriti, belas ihsan serta sahsiah masyarakat.

“Teknologi sentiasa dipandu oleh nilai, etika dan kebijaksanaan.

“Kemajuan material tanpa asas moral adalah kosong, kekayaan ekonomi tanpa kesejahteraan rohani tidak mampan, manakala pembangunan fizikal semata-mata tidak mampu mentakrifkan sebuah masyarakat yang berjaya sekiranya tidak disertai integriti, belas ihsan dan sahsiah yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian semasa Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain sempena Sambutan Hari Sarawak 2026 di sini, malam tadi.

Menurut Premier, Hari Sarawak bukan sekadar memperingati detik bersejarah 22 Julai 1963, malah menjadi wadah memperkukuh semangat perpaduan, saling menghormati dan tanggungjawab bersama dalam kalangan rakyat pelbagai kaum serta agama.

Jelasnya, keharmonian yang dinikmati Sarawak hari ini merupakan hasil hubungan erat masyarakat majmuk yang sekian lama hidup dalam suasana aman dan saling menghormati, sekali gus menjadi kekuatan utama negeri ini.

Menyentuh aspek pembangunan modal insan, beliau menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan pendidikan berkualiti kepada sekolah mubaligh di negeri ini menerusi penyaluran dana kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

“Untuk tahun 2026 sahaja, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM120 juta kepada UNIFOR. Ini termasuk RM20 juta khusus untuk sekolah mubaligh, dengan tambahan RM10 juta yang dikhaskan untuk inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Pelaburan ini mencerminkan kepercayaan kami bahawa masa depan Sarawak bermula dengan pendidikan yang berkualiti. Kami mahu anak muda kami bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi pencipta, inovator dan pemimpin masa depan yang mampu memacu ekonomi berasaskan pengetahuan,” tambahnya.