TANJUNG MANIS: Industri perikanan di Belawai kini berkembang daripada sekadar aktiviti menangkap ikan kepada penghasilan produk hiliran.
Pengembangan itu memberi nilai tambah serta meningkatkan pendapatan komuniti nelayan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, RM68,500 diperuntukkan kepada tiga usahawan bagi mengembangkan perusahaan berasaskan hasil laut, termasuk pemprosesan makanan dan pengumpulan hasil perikanan.
“Bagi menyokong usaha itu, kerajaan menyalurkan bantuan berjumlah RM108,500 kepada 63 nelayan dan usahawan perikanan dari Belawai, Jerijeh, Rajang, Paloh dan Kedang menerusi Program Touch Point serta Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SPeKS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyerahan bantuan Program Touch Point dan SPeKS di Dewan Komuniti Belawai, hari ini.
Len Talif berkata, seramai 60 nelayan turut menerima bantuan peti insulasi dan pukat bernilai RM40,000 bagi meningkatkan kecekapan operasi serta mengurangkan kos peralatan.
Menurutnya, kerajaan juga terus mempertingkat aspek keselamatan nelayan melalui pemasangan lampu pandu dan penanda alur sungai bagi memudahkan pergerakan bot.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, usaha pemuliharaan sumber marin perlu diteruskan termasuk memperluaskan penempatan tukun penghalang pukat di Kuala Rajang dan Kuala Paloh.
