Premier Sarawak harap tambang AirBorneo tidak dinaik, mudahkan pergerakan rakyat

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patnggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tambang penerbangan sehala RM375 AirBorneo dari Kuching ke Kuala Lumpur adalah berpatutan jika mengambil kira pasaran semasa.

Beliau sehubungan itu, menyarankan agar tambang penerbangan itu tidak dinaikkan lagi dalam masa setahun ini kerana ia bukan untuk rakyat Sarawak sahaja tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia.

AirBorneo adalah untuk menggalak dan memudahkan perjalanan keluar masuk antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia sekali gus merancakkan sektor pelancongan, katanya merasmikan pelancaran penerbangan sulung AirBorneo Kuching-Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, hari ini.

Abang Johari menegaskan, dengan menawarkan tambang lebih mampu milik, khususnya bagi laluan antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia lebih ramai rakyat akan berkunjung demi merapatkan lagi hubungan.

Rakan kita dari Semenanjung boleh datang bercuti ke Sarawak, manakala rakyat Sarawak pula berpeluang meneroka tempat lain serta menimba pengalaman baharu,” katanya.

Tambah beliau, sempena sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai, penerbangan ke Singapura akan dimulakan sebagai langkah pertama ke peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa terdapat perancangan untuk menambah pesawat moden serta menambah baik konfigurasi kabin bagi meningkatkan keselesaan penumpang.

Usaha juga akan dilakukan untuk menyediakan tambang lebih berpatutan, khususnya kepada pelajar yang kerap berulang-alik antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, AirBorneo dijangka berkembang secara organik sebagai sektor strategik dalam industri perkhidmatan, dengan mengambil inspirasi daripada kejayaan Dubai yang berkembang pesat melalui syarikat penerbangannya, Emirates.

Beliau berkata, dengan kekuatan Sarawak dari segi sumber asli serta pembangunan modal insan melalui dasar pendidikan negeri, di samping kemajuan dalam tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi baharu, negeri ini berpotensi menjadi hab serantau menjelang 2030.

“Penubuhan AirBorneo merupakan langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh jaringan logistik dan ekonomi negeri. Ia bukan sekadar sebuah syarikat penerbangan, tetapi simbol keupayaan Sarawak untuk berdiri sendiri dan bersaing di peringkat global,” katanya.

Sebagai permulaan, operasi AirBorneo akan dimulakan dengan dua pesawat dan dijangka berkembang dengan penambahan pesawat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.