KUCHING: AirBorneo memohon maaf kepada penumpang penerbangan MY5004 dari Kuala Lumpur ke Kuching, semalam susulan kelewatan yang berlaku akibat masalah teknikal.
Syarikat penerbangan itu memaklumkan keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan tertinggi sepanjang operasi penerbangannya.
“Masalah teknikal berkenaan berjaya diselesaikan sebelum pesawat berlepas pada jam 7.30 malam, sekali gus membolehkan semua penumpang meneruskan perjalanan ke Kuching,” kata AirBorneo dalam kenyataan media, semalam.
Sepanjang tempoh kelewatan, AirBorneo memaklumkan pasukannya sentiasa menyalurkan maklumat terkini kepada penumpang secara berkala.
Selain itu, makanan, minuman serta bantuan lain turut disediakan bagi memastikan keselesaan dan kebajikan penumpang yang terjejas.
“AirBorneo sekali lagi memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan merakamkan penghargaan kepada semua penumpang atas kesabaran, kefahaman serta kerjasama yang diberikan,” kata kenyataan itu.
Syarikat penerbangan itu turut menegaskan komitmennya untuk terus mengekalkan standard keselamatan tertinggi serta menyediakan perkhidmatan penerbangan yang selamat dan boleh dipercayai kepada semua penumpang.
