Industri hiburan bantu tarik pelancong asing, domestik ke Sarawak

KUCHING: Festival muzik Rock in the City (RITC) 2026 bakal berlangsung di Wisma Melayu pada 29 dan 30 Ogos ini dalam usaha mewarnai kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan muzik dan hab acara kreatif di Borneo.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, penganjuran festival itu bukan sahaja menawarkan hiburan malah memberi impak positif kepada ekonomi tempatan melalui peningkatan pelancong.

“Acara seumpama itu mampu merancakkan sektor perhotelan, makanan dan minuman, perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Ia turut menggalakkan pelawat mengunjungi produk pelancongan utama Sarawak seperti Muzium Budaya Borneo, Kampung Budaya Sarawak dan Pusat Hidupan Liar Semenggoh,” katanya semasa majlis sidang media (RITC) 2026 di bangunan Baitulmakmur II di sini , hari ini.

Kerajaan Sarawak tambahnya, sentiasa menyokong penganjuran acara seperti ini kerana memberi banyak pilihan kepada rakyat dan pelancong, di samping membantu mencapai sasaran kedatangan pelawat ke negeri ini.

Jelasnya, jika festival itu berjaya dikekalkan secara mampan, ia berpotensi dimasukkan sebagai acara tahunan dalam kalendar pelancongan Sarawak.

Sementara itu, Pengarah Festival Rock in the City, Sunil Mohd Fauzan berkata, festival tersebut merupakan evolusi daripada kejayaan Rock in the Jungle, yang kini dibawa ke tengah bandar bagi menarik lebih ramai pengunjung.

Katanya, festival itu menampilkan gabungan artis dan kumpulan rock dari Malaysia, Indonesia, Brunei serta Sarawak, dengan kumpulan legenda Indonesia Peterpan sebagai artis utama.