Vendor OGSE Sarawak pacu kontrak RM49.31 bilion

KUCHING : Langkah Sarawak memperkasa industri minyak dan gas tempatan terus membuahkan apabila Perkhidmatan Vendor dan Peralatan Minyak & Gas Sarawak (OGSE) 2026 negeri ini berjaya memperoleh kontrak bernilai RM49.31 bilion dari 2014 hingga Mac 2026.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, langkah tersebut sekali gus terus memperkukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab tenaga utama di rantau ini.

“Kira-kira 60 peratus daripada kontrak tersebut dilaksanakan di Sarawak, sekali gus memastikan sebahagian besar nilai ekonomi yang dijana kekal memberi manfaat kepada negeri ini.

“Bagi suku pertama 2026, seramai 267 vendor Sarawak berjaya memperoleh kontrak bernilai RM1.57 bilion, mewakili lebih 32 peratus daripada keseluruhan kerja yang dianugerahkan di Sarawak,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Perkhidmatan Vendor dan Peralatan Minyak & Gas Sarawak (OGSE) 2026 anjuran PETRONAS di Sheraton Hotel di sini, hari ini.

Tegasnya, ini membuktikan syarikat tempatan semakin berdaya saing, berkeupayaan tinggi dan diyakini untuk menyokong aktiviti huluan industri minyak dan gas yang semakin kompleks.

Ujarnya lagi, pencapaian itu turut disokong oleh pelaburan huluan kumulatif melebihi RM310 bilion sehingga suku keempat 2025, yang mencerminkan keyakinan berterusan terhadap potensi industri tenaga Sarawak.

Jelasnya, dalam menghadapi perubahan landskap tenaga global, Sarawak perlu terus membangunkan ekosistem yang lebih berdaya tahan, inovatif dan bersedia menghadapi masa depan.

Awang Tengah turut berkata, Sarawak kini berada pada kedudukan kukuh sebagai negeri petro-elektrik hibrid.

“Sarawak memiliki lebih 60 peratus rizab gas asli Malaysia, lebih 65 peratus potensi Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS) negara.

“Kita menyasarkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 10,000 megawatt menjelang 2030,”tambahnya.

Beliau turut menegaskan, syarikat tempatan perlu terus melabur dalam teknologi, pendigitalan, automasi dan kecerdasan buatan (AI).

Langkah berkenaan jelasnya, bagi meningkatkan produktiviti serta memperluaskan penyertaan dalam rantaian nilai tenaga di peringkat serantau dan global.