KUCHING: Peranan sebagai platform penting untuk menyedarkan dan mendidik generasi muda tentang apa yang tersurat dan tersirat dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan satu daripada perkara amat signifikatan sambutan Hari Sarawak, kata Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata, sambutan Hari Sarawak menegaskan sepenuhnya status Sarawak bukan sekadar sebuah negeri biasa, sebaliknya sebagai satu wilayah dan rakan sekutu yang menubuhkan Persekutuan Malaysia seperti yang tersurat dalam Perlembagaan dan tersirat dokumen Perlembagaan MA63.
Lebih enam dekat berlalu, dan kini rakyat Sarawak melihat negeri ini terus melakar sejarah apabila melangkah dengan berani untuk menentukan haluan sendiri, katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Sarawak 2026 di sini.
Yang di-Pertua Negeri berkata, Hari Sarawak y ang disambut setiap tahun membawa makna mendalam bukan sekadar cuti umum tetapi merupakan satu simbol kebangkitan perjuangan untuk memartabatkan maruah, identiti dan titik baharu pusingan sejarah yang membentuk satu wilayah maju dalam negara Malaysia hari ini.
Kemajuan sesebuah negara atau wilayah tidak hanya diukur melalui bangunan yang tinggi, jalan raya yang modean atau ekonomi yang berkembang, tegas beliau.
Kemajuan yang sebenar diukur, katanya, melalui kualiti rakyatnya yang berilmu, berintegriti, bersatu hati, saling menghormati dan sentiasa bersedia berkhidmat demi kesejahteraan Sarawak.
Beliau menggesa rakyat Sarawak supaya bersama-sama melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan, memelihara perpaduan yang menjadi kekuatan dan terus berganding bahu membina sebuah Sarawak yang lebih maju, lebih makmur dan lebih sejahtera untuk generasi hari ini dan akan datang.
Yang di-Pertua Negeri menegaskan, apabila rakyat mempunyai matlamat yang sama untuk melihat Sarawak maju dan membangun, rakyat akan lebih cenderung untuk menyokong inisiatif pembangunan seperti pemodenan pertanian, transformasi pendidikan dan kelestarian alam sekitar.
“Semangat ‘Segulai Sejalai’ pula menjadi pendorong bagi memastikan tiada komuniti yang ketinggalan dalam arus perdana pembangunan,” katanya.
“Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, ekonomi negeri ini terus berkembang pesat melalui sektor tenaga, pertanian dan perdagangan,” katanya.
Beliau menambah, Kerajaan Sarawak sangat jelas mempunyai visi, misi dan strategi yang baik untuk membangunkan Sarawak.
Perjuangan Sarawak, tegas beliau, belum selesai kerana proses melengkapkan pembangunan inklusif ini adalah satu perjalanan panjang yang memerlukan kestabilan ekonomi dan politik yang berterusan.
