KUCHING: Dengan semangat satu pasukan, integriti dan komitmen tinggi, Kerajaan Sarawak yakin anggota perkhidmatan awam mampu menghadapi transformasi pengdigitalan.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, langkah berkenaan terus memperkukuhkan peranan mereka sebagai pemacu utama pembangunan dalam masa lima tahun kedepan.
Katanya, peranan anggota Perkhidmatan Awam Sarawak harus berubah, dari pelaksana kepada ‘gatekeeper’, iaitu pemudah cara dan pemacu pembangunan berasaskan data.
“Ini memerlukan kecekalan, kesediaan untuk berubah dan semangat untuk terus belajar, katanya dalam perutusan kepada anggota Perkhidmatan Awam Sarawak sempena menyambut Hari Sarawak 2026 di sini.
Beliau berkata, transformasi pengdigital itu menuntut anggota Perkhidmatan Awam Sarawak supaya terus meningkatkan kemahiran digital dan literasi data serta membina keupayaan berfikir secara kritis dan inovatif dalam mendepani persekitaran global yang semakin kompleks serta dipacu oleh teknologi.
“Saya menggesa seluruh anggota Perkhidmatan Awam Sarawak sentiasa mengamalkan prinsip 3R, iaitu Revisit, Rethink and Recharge, supaya kita sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan semasa,” katanya.
Komitmen berterusan ini, tambahnya, amat penting dalam memastikan sektor awam mampu bergerak seiring dengan tuntutan pendigitalan.
Menurut beliau, 22 Julai merupakan tarikh yang amat bermakna dalam sejarah Sarawak kerana pada hari tersebut, 63 tahun lalu, buat pertama kalinya anak jati Sarawak mengambil alih kepimpinan tertinggi Kerajaan Sarawak.
Peristiwa bersejarah ini mengingatkan rakyat bahawa kejayaan yang dinikmati pada hari ini bukanlah sesuatu yang datang dengan mudah, tetapi lahir daripada pengorbanan dan penat lelah para pemimpin dahulu yang memperjuangkan hak, maruah dan masa depan Sarawak, tegas beliau.
