SIBU: Lebih 10,000 rakyat pelbagai kaum dan agama membanjiri Dataran Tun Tuanku Bujang menyertai Sarawak Day Unity Walk 2026.
Kehadiran peserta jelas mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi teras masyarakat di Sarawak, pagi tadi.
Upacara pelepasan sekitar jam 7 pagi disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, turut diiringi isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2026, Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh, ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta yang lain.
Tun Dr Wan Junaidi turut meluangkan masa meninjau Pameran Sejarah Hari Sarawak 2026 sebelum diraikan dalam majlis jamuan ringkas di Sibu Kitchen.
Pada majlis itu, Tun Dr Wan Junaidi dan isteri Toh Puan Fauziah menerima cenderamata tradisi berupa sampin dan selendang keringkam yang disampaikan oleh barisan Ketua Masyarakat Bahagian Sibu yang diketuai Temenggong Dato Sri Wan Hamid Edruce.
Atur cara sambutan diteruskan pada sebelah malam ini menerusi Perhimpunan Hari Sarawak 2026 dan Konsert Rakyat di lokasi sama yang turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
