LUNDU: Sambutan Hari Sarawak di sini, diraikan dalam suasana penuh semangat apabila ratusan penduduk pelbagai kaum berhimpun menyertai Program Lundu Heart Day, hari ini.
Aktiviti tersebut menggabungkan elemen kesihatan, perpaduan dan semangat cintakan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, sambutan bertepatan dengan ulang tahun ke-10 Hari Sarawak diisytiharkan sebagai cuti umum negeri itu bukan sekadar memperingati sejarah, malah menjadi platform memperkukuh perpaduan dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan.
“Melalui program seperti ini, kita bukan sahaja meraikan Hari Sarawak dan mengenang jasa pemimpin terdahulu, malah mengajak masyarakat membudayakan penjagaan kesihatan sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian,” katanya pada program berkenaan.
Program anjuran Yayasan Jantung Sarawak bersama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu itu menampilkan pelbagai aktiviti termasuk senamrobik, berjalan kaki sejauh kira-kira satu kilometer, konvoi bermotosikal serta saringan kesihatan percuma, sekali gus menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif.
Beliau berkata, usaha membudayakan gaya hidup sihat perlu diperkasakan secara berterusan memandangkan Malaysia, termasuk Sarawak, masih berdepan peningkatan kadar obesiti dan penyakit tidak berjangkit yang berkait rapat dengan gaya hidup, selain merakamkan penghargaan kepada Yayasan Jantung Sarawak atas kerjasama menjayakan program tersebut.
Turut hadir ialah mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu.
