Indah Water Konsortium sumbangkan papan pintar kepada SK Ulu Daro

DARO: Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd menganjurkan Program Sahabat Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Daro.

Majlis disempurnakan Ahli Parlimen Igan merangkap Pengerusi IWK, Ahmad Johnie Zawawi.

Ahmad Johnie dalam ucapannya berkata, IWK berperanan mengurus sistem pembetungan negara di samping meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara sumber air bersih.

“IWK turut menitikberatkan amalan kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar sebagai tanggungjawab bersama demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Pada majlis itu, IWK turut menyumbangkan sebuah papan pintar kepada SK Ulu Daro bagi menyokong pembelajaran digital di sekolah berkenaan, selain menyerahkan sumbangan buku kepada perpustakaan sekolah.

Turut hadir ialah bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Kamarudin Ambok, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam, Ketua Jabatan Perancangan dan Kejuruteraan IWK, Mohd Lutpee Salleh, serta tetamu jemputan lain.