Muara Lassa Bridge Fun Walk erat silaturahim, promosi ikon Daro

DARO: Sekitar 1,000 peserta menyertai Muara Lassa Bridge Fun Walk sempena Pesta Daro 2026 di Jambatan Muara Lassa mampu mengeratkan silaturahim dan mempromosikan ikon infrastruktur daerah itu.

Program yang bermula seawal 6 pagi itu dianjurkan dengan kerjasama PEMADAM dan MAKSAKS Daerah, Pejabat Daerah Daro serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.

“Ia bukan pertandingan, sebaliknya platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan menggalakkan gaya hidup sihat bersama keluarga,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, penyertaan melibatkan semua peringkat umur dan pelbagai kaum, selain program itu dimeriahkan dengan pertandingan pakaian beragam, aktiviti berkumpulan serta cabutan bertuah.

Beliau berkata, program tersebut turut menjadi medium mempromosikan Jambatan Muara Lassa sebagai antara mercu tanda penting di Sarawak dan ikon baharu daerah Daro.

Katanya, sambutan menggalakkan terhadap Pesta Daro 2026 membuktikan peningkatan kehadiran pengunjung, sekali gus membuka peluang untuk merancakkan sektor ekonomi dan pelancongan tempatan.

Beliau yakin pembangunan infrastruktur, termasuk Jambatan Batang Paloh yang dijangka siap pada Oktober nanti, akan meningkatkan lagi akses ke Daro serta memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.